Friday 5 August 2011

Khutbah 2:RAMADHAN PENYUBUR JIWA MULIA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sekalian umat Islam agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Wahai kaum Muslimin yang berkati Allah
فرمان الله تعالى دالم أية 66 سورة الأنفال :
الئن خفف الله عنكم وعلم أن فيكم ضعفا فإن يكن منكم مائة صابرة يغلبوا مائتين وإن يكن منكم ألف يغلبوا ألفين بإذن الله والله مع الصــبرين

Maksudnya : Sekarang Allah telah meringankan kepadamu(wahai Muhammad) dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan jika ada di antaramu seribu orang yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang musuh dengan izin Allah. Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar

Kini lebih seminggu kita umat Islam sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.
Umat Islam seluruh dunia tanpa mengira batas sempadan bangsa dan negara, bahasa dan budaya sama-sama menyambut kehadiran bulan yang penuh dengan pengampunan dosa bersama penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka disamping terantainya syaitan penggoda yang selama ini sentiasa menjadi teman karib kepada nafsu dalam diri kita.
Semoga kehadiran Ramadhan dapat menyemarakkan semangat jihad yang baru dalam diri kita dalam melawan godaan nafsu terutama ketika teman rapatnya sedang dirantai daripada kalangan iblis dan syaitan.
Amat malang jika pada bulan Ramadhan ketika hanya bertarung dengan nafsu maka kita bukan sahaja tewas dengan godaannya malah lebih teruk daripada sebelum datangnya Ramadhan.
Bulan Ramadhan sepatutnya dijadikan bulan untuk melemahkan nafsu sebaliknya dijadikan bulan pesta makanan dan bulan untuk membazir kerana terpedaya dengan nafsu.
Ketika nafsu dikekang sehingga hampir tumpas sepanjang siang hari ketika menunaikan ibadat puasa sebaliknya pada malam hari diri kita pula tewas kerana terlalu menurut kehendak nafsu ketika berbuka.
Akhirnya salah satu hikmat kewajipan puasa iaitu melatih diri dalam melawan godaan nafsu tidak berjaya dan puasa kita tidak memberi kesan yang mendalam ke arah melahirkan diri sebagai insan yang bertaqwa.
Kita juga gagal mencapai apa disabdakan oleh Rasulullah s.a.w :
صوموا تصحوا
yang bererti : Berpuasalah nescaya kamu sihat.
Sepatutnya dengan mengerjakan ibadat puasa dapat memberi ruang kepada tempat penghadam di dalam perut kita untuk berehat sehingga kesihatan kita dapat dijaga sebaliknya kita hanya memberi masa kepadanya pada siang hari sahaja untuk berehat sedangkan pada malam hari kita menggunakannya untuk menghadam makanan yang kita makan kadang-kadang lebih teruk daripada bulan selain Ramadhan.

Makanan halal ibarat ubat tetapi jika makan terlalu banyak maka ia bukan boleh memberi banyak manfaat sebaliknya akan membawa mudharat.
Wahai kaum Muslimin yang berkati Allah,
فرمان الله تعالى دالم أية 183 سورة البقرة :
يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Antara matlamat Allah mewajibkan kita untuk menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan ialah untuk melahirkan diri sebagai manusia yang bertaqwa dengan hatinya sentiasa ingat dan takut kepada Allah, mulutnya sentiasa mengucap syukur dan berkata perkataan yang disukai oleh Allah dan seluruh anggota badannya sentiasa melakukan apa yang disuruh oleh Allah serta menjauhi segala tegahanNya sepanjang masa.
Apabila telah timbulnya sifat taqwa dalam diri seseorang maka tiada lagi erti perkataan takut kepada sebarang serangan samada godaan nafsu, syaitan, kemewahan dunia, anak-pinak malah kuffar yang memeranginya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment